Palestin  ‘ajar’ Harimau Malaya
Amri Yahyah (biru) gagal melepasi pemain Palestin, Khaled Mahdi pada perlawanan amal antarabangsa di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kuantan: Jurang antara Malaysia dan Palestin jelas kelihatan apabila skuad kendalian Datuk K Rajagobal tumpas 2-0 kepada negara yang sedang bergolak dan jarang berlatih bersama dalam perlawanan persahabatan amal antarabangsa di Stadium Darul Makmur, malam tadi.


Ketika skuad negara beraksi longlai, tetapi barisan Palestin menunjukkan semangat juang tinggi untuk memastikan kemenangan walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan amal yang bukan berkelas A. Pada perlawanan itu, Palestin yang dilatih Jamal Mahmoud lebih banyak menguji pertahanan HarimauMalaya. 




Ia dapat disaksikan pada minit ke-27 apabila Iyad A.S Gahrqoud hampir meletakkan pasukannya di depan tetapi sepakan lambung tersasar di sebelah kiri ketika penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias sudah tertewas.



Peluang terbaik skuad negara hadir menerusi Mohd Amri Yahyah tetapi penjaga gol Palestin, Tawfiq A Y Abuhammad berjaya menangkap kemas pada minit ke-30.



Akhirnya gol yang dicari-cari Palestin berjaya disempurnakan Khaled J A Salem enam minit sebelum tamat separuh masa pertama.



Taktik Raja dipertikai 
Bersambung babak kedua, barisan Rajagobal sedikit menyerlah namun dinafikan kekentalan jentera pertahanan Palestin yang bijak mematahkan serangan Harimau Malaya.



Selepas itu, tidak banyak yang dapat dilakukan pemain negara untuk memecah kebuntuan, sebaliknya Palestin yang jarang menguji pertahanan negara berjaya menambah jaringan pada minit terakhir permainan menerusi Ashraf Alfawaghra hasil sepakan percuma.



Bagaimanapun, Rajagobal harus dipersalahkan atas jaringan itu kerana memasukkan penjaga gol muda, Ahmad Syihan Hazmi menggantikan Norazlan Razali ketika lawan mendapat sepakan percuma di luar kotak penalti.



Lawan bagaimanapun mendapat penalti di hujung perlawanan tetapi Ahmad Syihan memastikan gawang negara tidak lagi dibolosi.