Rashid: Malaysia masih pasukan 'terbaik'
Pemain negara bersama trofi Piala Axiata. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
KEJAYAAN Malaysia merangkul kejuaraan sulung Kejohanan Piala Axiata setelah menewaskan Thailand 3-1 di Stadium Cheras malam tadi membuktikan skuad badminton negara masih lagi pasukan terbaik, kata ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek.

Jelas Rashid, meskipun Thailand merupakan pasukan yang lebih kuat berbanding Malaysia, namun anak buahnya berjaya membuktikan kemampuan dengan menewaskan mereka dalam perlawanan itu.

"Kita telah membuktikan Malaysia juga ada keupayaan untuk tewaskan pasukan yang lebih kuat.

"Dan kehadiran Lee Chong Wei sedikit sebanyak telah membuatkan semangat pemain untuk menang semakin tinggi dan membara," kata Rashid.

Tambah Rashid,"setelah gagal dalam edisi tahun lepas, kekecewaan kami terubat dengan kemenangan kali."

"Dan  saya berharap kejayaan ini akan menyuntik semangat pemain untuk menghadapi kejohanan akan datang terutama Kejohanan Piala Sudirman bulan depan," jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan anak buahnya yang berjaya menewaskan Thailand 3-1, sekali gus merangkul kejuaraan Piala Axiata tahun ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Piala Sudirman yang akan berlangsung 19 hingga 26 Mei ini, Rashid berkata, beliau akan membuat peracangan rapi bagi membolehkan anak buahnya mempamerkan aksi  terbaik untuk edisi kali ini.

Rashid juga menjelaskan bahawa Malaysia akan membariskan 20 pemain untuk kejohanan tersebut.

Untuk rekod sejak diperkenalkan pada 1989, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan dwitahunan itu ialah separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

Pada saingan Piala Sudirman, terdapat lima perlawanan bagi setiap pusingan iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita dan beregu campuran.