Wan Zack
Lincah..Wan Zack (kiri) berjaya memperdaya tiga pemain Sagawa Printing.
Barisan pemain FC Ryukyu
Barisan pemain FC Ryukyu
PENYERANG harapan negara, Wan Zack Haikal Wan Noor berjaya mengukir sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama negara beraksi di saingan Liga Jepun (JFL).

Wan Zack, 22, kini menyarung jersi pasukan FC Ryukyu yang berpangkalan di Kepulauan Okinawa, Jepun.

Anak kelahiran Maran, Pahang ini, begitu teruja beraksi di luar negara namun berazam mempelajari ilmu bersama Ryukyu bagi meningkatkan dirinya sebagai pemain bola sepak profesional.

Mengikut terma, kontraknya bersama Ryukyu berkuatkuasakan selama dua tahun dan akan diperbaharui jika pihak pengurusan kelab berpuas hati sepanjang aksinya di JFL.

Selepas hampir tiga minggu menjalani latihan di luar padang, Wan Zack berjaya mendapat cap pertama bersama Ryukyu.

Dia diberi kepercayaan jurulatih, Norihiro Satsugawa untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Sagawa Printing di Stadium  Athletics Okinawa City pada 13 April lalu.

Walaupun sekadar bermain selama 80 minit, ia cukup membuatkan Wan Zack teruja.

"Saya gagal memberikan aksi terbaik dan banyak perlu dipelajari khususnya teknik komunikasi. Saya juga berdebar dan sedikit gugup kerana ini merupakan penampilan sulung untuk kelab Ryukyu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Okinawa, Jepun, baru-baru ini.


Igauan Wan Zack

Satu perkara yang ditakuti Wan Zack benar-benar berlaku. Beliau mengalami kecederaan pada buku lali kanan dan dipapah keluar ketika sesi latihan di Pusat Latihan Yosanoura, Okinawa, bulan lalu.

Wan Zack terlibat insiden terjahan kasar rakan sepasukan ketika melakukan persediaan bagi menghadapi kelab Yokohama Sports dan Cultures Club (YSCC). Akibat kecederaan tersebut, beliau terpaksa berehat selama sebulan dan ia amat
mengecewakan Wan Zack yang terus berharap dapat memberikan sumbangan kepada Ryukyu di samping mengumpul cap keduanya.

Ditanya mengenai sejauh manakah mereka mampu bertahan menjalani cabaran hidup sebagai pemain bola sepak di sana, Wan Zack Haikal menegaskan akan cuba mengubah persepsi buruk peminat bola sepak tanah air terhadap pemain negara.

“Itu persepsi orang, saya tidak boleh buat apa-apa, saya cuma boleh buktikan mereka hanya bercakap kosong.

“Saya akan buktikan mampu mencipta sesuatu di sini,” katanya.

Sebelum ini pemain tempatan seperti dilanda sindrom tidak mampu bertahan lama di luar negara dengan kes terbaru membabitkan pemain muda, Muhammad Faiz Nazmi Mansor yang menamatkan kontrak awal bersama SC Beira-Mar dan Ahmad Fakri Saarani dari Atletico SC di Portugal.


Profil:

Nama: Wan Zack Haikal Wan Noor
Tarikh lahir: 28 Januari 1991
Tempat lahir: Maran, Pahang
Tinggi: 1.70 meter
Posisi: Sayap
Kelab semasa: FC Ryukyu (Jepun)

Karier remaja: 
2005-2007 Piala Presiden Kuala Lumpur

Kelab diwakili 
2007-2008: Felda United FC
2008-2009: Harimau Muda B
2009-2013: Harimau Muda A
2011FC ViOn (pinjaman)

Pasukan kebangsaan:
2008-2010 Malaysia B19
2010 Malaysia B23
2012 Malaysia

Pencapaian:
2009 Juara Liga Perdana (Harimau Muda A)
2012 Juara B21 Kejohanan Antarabangsa Piala Thanh Nien

Laporan Asal Sinar Harian