Tuesday 15 January 2013

Surat Khabar Utusan Malaysia Lawatan Menteri Kerja Raya di Maran

Jumaat lepas saya ke Maran dan turut berada di tapak semasa Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor membuat lawatan kerja. Jadi saya nak lampirkan surat khabar Utusan Malaysia berkenaan lawatan yang dibuat. http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130112/dn_18/RM1066-juta-baiki-jalan-rosak

RM106.6 juta baiki jalan rosak


Shaziman Abu Mansor (tengah) melawat kawasan jalan yang mendap akibat kerap dilanda banjir di Kampung Teras, Luit, Maran, Pahang, semalam. - utusan/Mahathir Ali
MARAN 11 Jan. - Kerajaan memperuntukan RM106.6 juta bagi menyelenggara dan membaiki jalan yang rosak akibat banjir di tujuh negeri sejak Oktober hingga 5 Januari lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, daripada jumlah itu, Terengganu mendapat paling banyak peruntukan iaitu RM40 juta, diikuti Pahang (RM23.6 juta), Perak (RM12.75 juta), Kelantan (RM9.27 juta), Kedah (RM3.37 juta), Negeri Sembilan (RM3.2 juta) dan Melaka (RM2.7 juta).
"Pada bencana banjir kali ini, kementerian mengambil langkah proaktif tidak menunggu kawasan yang dilanda banjir menghantar laporan tetapi sebaliknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan syarikat konsesi untuk membaiki segera jalan yang rosak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau masalah tanah runtuh di Jalan Kuantan-Maran dekat Kampung Teras Luit, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh, Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohd. Noor Yaacob dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.
Menurut Shaziman, arahan juga diberikan kepada JKR negeri dan syarikat konsesi yang bertanggungjawab membaiki kerosakan jalan itu agar menyiapkan kerja selewat-lewatnya Mac depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga memperuntukan RM150 juta bagi kerja-kerja menaik taraf membabitkan 184 sistem pembentungan di jalan Persekutuan seluruh negara sebagai persiapan berdepan dengan ancaman banjir.
"Tujuan utama penukaran sistem pembentungan ini kerana di satu-satu kawasan itu, ia terlalu kecil dan sering berlaku banjir walaupun hujan sekejap.
"Jadi, kementerian mengambil keputusan untuk menukar sistem pembentungan agar kejadian banjir di sesuatu kawasan itu dapat dielakkan," katanya.

No comments:

Post a Comment