Safiq Rahim
Safiq (kanan) dikatakan bakal meninggalkan Johor DT.
BIARPUN memiliki nama besar dalam arena bola sepak negara, khidmat bintang pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim nyata tidak diperlukan kem Tok Gajah buat masa ini.

Ura-ura menyebut, Safiq yang beraksi di posisi tengah dikatakan bakal meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Larkin berikutan kerap memanaskan bangku simpanan serta berdepan prestasi tidak menentu.

Pasukan yang menjadi destinasi seterusnya bagi beliau adalah bergabung bersama skuad Pahang.

Kelab penyokong bola sepak Pahang ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, kehadiran Safiq belum sesuai di Kuantan pada masa sekarang.

“Kami lihat Pahang sudah begitu kuat di bahagian tengah. Lagipun, Pahang miliki Hafiz Kamal dan Saiful Nizam Miswan yang juga bermain di posisi tengah.

“Bagaimana Safiq mahu rebut tempat utama sedangkan Azidan Sarudin pun jarang berada dalam kesebelasan utama pasukan musim ini,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) perlu fikir sebaik mungkin dan tidak perlu membazirkan wang bagi membayar gaji kepada beliau jika hanya jadi pemain simpanan.

“Daripada Safiq, kami rasa baik ikat Nazmi Faiz Mansor yang kini bermain untuk PKNS,” katanya.
sumber Sinar Harian